Thursday, August 28, 2008

Sehari bersama Atuk Abah

Cerita ini hanya sekadar ingatan saya kepada Arwah Atuk Abah yang telah pergi meninggalkan kita beberapa tahun lalu. Hari itu merupakan antara hari-hari dalam kehidupan yang paling saya bangga dan tidak lupa. Buat pertama kali saya berjaya 'entertain' Atuk Abah pada hari itu.
Semasa Atuk Abah dan Mak Atuk berkunjung ke rumah Mak Yah di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, Arwah meminta saya untuk membawanya bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur. Saya sanggup mengambil 'emergency leave' demi untuk Arwah.
Bermula pada pukul 10 pagi, saya membawa Arwah menaiki kereta saya ditemani juga oleh Mak Atuk dan anak sulong saya, Amir menyusur jalan MRR2 terus ke Batu Caves dan kemudiannya ke pusat ibu kota. Arwah tidak putus-putus melihat kiri dan kanan sambil memberi komen kepada segala yang dilihatnya. Mak Atuk pula sering tertidur semasa 'trip' kami itu (keletihan agaknya).
Saya memandu melalui PWTC dan Pan-Pacific Hotel (tempat di mana arwah pernah diraikan sebagai pejuang kemerdekaan) dan terus ke Chow Kit road, Jalan TAR, Dataran Merdeka dan seterusnya saya terus memandu melalui Lebuhraya Sg Besi-Seremban. Seterusnya saya berhenti di sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan untuk makan dan minum.
Apa yang paling saya sukar lupakan ialah Arwah sering menyatakan bahawa Arwah sangat berpuas hati dengan 'tour' tersebut sepanjang masa saya memandu sehingga Arwah begitu bermurah hati membayar makan tengahari kami pada hari itu.
Sehingga hari ini, saya merasa amat puas apabila terkenang 'tour' kami itu. Saya cukup puas kerana dapat memberikan sesuatu kepada Arwah sepanjang hidupnya. Saya akui tidak mampu membalas jasa Arwah denga harta atau wang ringgit, tetapi saya cukup merasa puas kerana saya dapat memberikan masa yang sangat berharga kepada Arwah.
Selepas 'tour' itu, arwah juga menyatakan bahawa Arwah mahu saya membawanya bersiar2 di Kuala Lumpur dengan LRT pula pada masa lain. Agak sedih kerana saya tidak dapat menunaikan niat Arwah kerana sebelum sempat berbuat demikian, Arwah telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Semua itu adalah perhargaan kepada Arwah dan juga memori yang sukar saya lupakan. Semoga Allah memberi rahmat kepada Arwah. Aminn...

No comments: