Wednesday, August 6, 2008

Sejarah Kehidupan


Saya sering berpendapat dengan ibu saya, bahawa adalah perlu bagi kita untuk mengingati peristiwa-peristiwa atau sejarah kehidupan keluarga pada masa yang lalu. Mungkin segelintir daripada kita tidak suka mengingati kesusahan dan pengalaman hidup keluarga sebelum ini.

Bagi saya, kisah-kisah keluarga pada masa lalu perlu disampaikan ke generasi yang akan datang untuk dijadikan tauladan kepada semua anak cucu kita nanti bagaimana sebuah keluarga bermula dan berkembang sepertimana pada hari ini.

Saya merasa begitu bertuah kerana berpeluang merasai kehidupan kanak-kanak di kampung di mana pada masa itu bidang pertanian terutamanya menoreh getah merupakan pekerjaan utama penduduk kampung. Saya berpeluang merasai bagaimana nilai 10 sen itu sama dengan nilai RM 1 pada hari ini, di mana dengan berbekalkan RM 1, kami mampu makan mee goreng dan minuman di kedai mamak pada ketika itu.

Sekiranya kisah-kisah seperti ini tidak diketahui oleh generasi kita yang akan datang, mereka tentu menganggap kehidupan hari ini adalah sama dengan kehidupan terdahulu. Adalah tidak dinafikan bahawa adakalanya kita merasa tersentuh dengan semua memori lama tetapi semua pengalaman itulah yang telah memotivasikan diri saya untuk terus menghabiskan pelajaran saya.

Kisah mandi parit, memancing ikan dan bermain di sekitar kampung sering menjadi memori yang kadangkala membuat saya tersenyum sendiri. Pengalaman seperti ini tidak dirasai oleh generasi terkini yang hanya memikirkan smart reader, taska, tadika dan tusyen mereka.

Saya sering menginginkan anak-anak saya merasa apa yang telah saya lalui..

Foto - Rumah Keluarga yang telah diubahsuai

Sekian, sekadar cetusan hati dari saya.

No comments: