Tuesday, December 15, 2009

Welcome to the World

Kami menutup tirai tahun ini dengan keahlian keluarga seramai 6 orang termasuk isteriku. Amir akan melangkah ke tahun 3 dan Aina ke tahun 1 dalam alam persekolahan mereka. Atif mengakhiri tahun ini dengan berpangkatkan 'abang' kepada puteriku yang ke-4, Alya.
Begitula kehendak Allah SWT di mana aku hanya mampu bersyukur, redha dan bersedia memikul tanggungjawab yang diberikan dan amanahNya.
Ibuku pernah berkata, 10 orang anak pada masa lalu sama dengan menjaga 3 orang anak pada masa ini. Aku kira banyak betul kata-katanya. Kanak-kanak kini mempunyai minda dan pemikiran yang 2 atau lebih kali ganda daripada kanak-kanak yang lahir di era sebelum 90-an. Secara analisisnya, aku tidak mempunyai asas sama sekali tetapi hanya berasaskan pengalaman sendiri.
Banyak faktor yang boleh dipertimbangkan, mungkin dari sudut makanan berzat, mungkin bimbingan ibu bapa yang lebih efisyen dan pelbagai lagi. Bagiku, walau seberzat mana makanan atau semahal mana bimbingan yang kita berikan, doa kepada mereka adalah amat penting. Begitu juga bimbingan keimanan mereka dan jangan sekali pun kita putuskan keimanan mereka dan sentiasa ingatlah (termasuk diri saya sendiri), akan amanah yang telah diberikan kepada kita.
Semoga kita dapat mengimbangi keadaan ini dengan perkembangan 'the new world' seperti AF, PS2, WIFI dsb yang sangat mencabar.
Kepada anak-anakku, welcome to the world! Kejarlah Akhirat, dan Dunia pasti akan mengejar kita.

2009 / Maal Hijrah

Cepat sungguh masa berlalu. Semalam adalah perkara yang 'paling jauh' dengan kita. Walaubagaimanapun, hidup mesti diteruskan dengan penuh 'kesyukuran' kepada Allah SWT.
Mengimbas kembali 2009, aku pun hampir lupa peristiwa-peristiwa penting. Yang tidak akan aku lupakan ialah kedatangan puteriku iaitu zuriat amanah Allah yang ke-4 yang dikurniakan kepada kami sekeluarga.
Tiada azam pada tahun lalu dan tiada azam untuk tahun yang mendatang. Kita berazam dan berjanji setiap hari di hadapan Allah SWT untuk beribadat, hidup dan mati kerana Allah SWT. Aku rasa azam setiap hari itu adalah amat penting dan lebih dari mencukupi untuk kita imbas kembali setiap 5 kali dalam sehari.
Adakah kita dikalangan orang-orang yang telah menunaikan azam kita itu? Adakah kita dikalangan orang-orang mukminin atau kita hanya sebagai manusia yang hanya menggunakan nama Islam?
Walaupun begitu, tidak ada salahnya kita berazam untuk untuk terus memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa apatah lagi tahun baru Islam juga bakal tiba tidak lama lagi... Maal Hijrah 1431.
Persoalan untuk difikir, adakah kita sentiasa menghitung 'berapa lama kita akan hidup' atau 'berapa lama lagi kita akan mati'. Wassalam


Thursday, July 30, 2009

2009

Salam.. Ini lah tulisan pertama aku dalam blog ini untuk tahun ini. 'Mood' untuk menulis agak 'kureng' untuk tahun ini gamaknya. Jadi, untuk ringkasan aku menulis dipertengahan tahun yang akan menceritakan kisah yang berlalu dan perancangan seterusnya sehingga ke akhir tahun. Secara ringkasannya beberapa perkara telah berlaku pada tahun ini:

1. Mak Atuk dimasukkan hospital kerana penyakit paru-paru berair. Alhamdulillah beliau telah selamat balik ke kampung setelah menjalani pembedahan dan beberapa pemeriksaan susulan. Yang terakhir beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, JB untuk rawatan jangkitan kuman dilimpa dan kencing manis. Semoga Mak Atuk sentiasa sihat dan dapat beristirihat di kampung dengan baik.

2. Mak Emmy telah kehilangan putera sulungnya yang berumur kira-kira seminggu disebabkan oleh jangkitan kuman (kemungkinan besar). Apa yang yang penting, semua ini adalah ketentuan Allah SWT yang hanya meminjamkannya kepada kita untuk seketika. Semoga keluarga Mak Emmy dan 'Along' tabah menghadapi ujian dari Allah SWT.

3. Aku sedang menunggu kelahiran cahaya mata yang keempat tidak lama lagi. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar. InsyaAllah.

4. Bekas Ayah tiriku, Maarof telah mengalami kemalangan jalanraya di Pahang semasa mengendalikan sebuah treler yang sedang dalam perjalanan. Alhamdulillah beliau telah terselamat dalam kemalangan tersebut dan sedang menjalani proses pemulihan fizikal sepenuhnya.

5. Bapa Saudara isteriku, Syed Ismail telah dimasukkan hospital kerana hampir mengalami kanser dibahagian peha dan telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Putrajaya. Ketika ini beliau juga sedang menjalani rawatan susulan

6. Mak dan Adikku, Ana telah sempat menziarahi Mak Yah sekeluarga yang berada di Kuching baru-baru ini. Kadang2 bagus jugak ada Air-Asia ni cuma kerajaan bila lah nak turunkan kadar tol. Baru lah talian silaturrahim berjalan lebih lancar.

7. Yang terbaru, malam tadi adik iparku, Syed Hadee telah mengalami kemalangan jalanraya dan telah dimasukkan keICU PPU. Beliau dibenarkan pulang kerumah dan sedang menjalani ujian susulan.

8. Kepada yang telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya, aku akan sentiasa mendoakan mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Oleh kerana aku jarang-jarang pulang ke-kampung pada tahun ini, banyak perkara yang aku tidak begitu peka melainkan aku diberitahu.

Banyak perkara yang berlaku secara peribadi yang sukar untuk dituliskan disini. Yang penting, semua itu hanyalah ujian Allah SWT dan kita hendaklah pasrah denga semua itu.

Untuk perancangan seterusnya, tiada perancangan terperinci untuk tahun ini selain dari bakal menghadapi hari-hari yang agak sibuk.... kelahiran cahaya mataku, bulan Ramadhan, Hari Raya dan kehidupan seharian yang sibuk sepertimana hari-hari yang sebelumnya.

Yang paling penting, kehidupan ini adalah sementara dan menjadi pentas ujian Allah SWT kepada hambaNya. Yang kaya akan diuji dengan kekayaan, yang miskin diuji dengan kemiskinan dan begitulah seumpamanya.

Sekian, semoga Allah SWT sentiasa menrahmati kita. Wallahualam.