Thursday, August 28, 2008

Sehari bersama Atuk Abah

Cerita ini hanya sekadar ingatan saya kepada Arwah Atuk Abah yang telah pergi meninggalkan kita beberapa tahun lalu. Hari itu merupakan antara hari-hari dalam kehidupan yang paling saya bangga dan tidak lupa. Buat pertama kali saya berjaya 'entertain' Atuk Abah pada hari itu.
Semasa Atuk Abah dan Mak Atuk berkunjung ke rumah Mak Yah di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, Arwah meminta saya untuk membawanya bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur. Saya sanggup mengambil 'emergency leave' demi untuk Arwah.
Bermula pada pukul 10 pagi, saya membawa Arwah menaiki kereta saya ditemani juga oleh Mak Atuk dan anak sulong saya, Amir menyusur jalan MRR2 terus ke Batu Caves dan kemudiannya ke pusat ibu kota. Arwah tidak putus-putus melihat kiri dan kanan sambil memberi komen kepada segala yang dilihatnya. Mak Atuk pula sering tertidur semasa 'trip' kami itu (keletihan agaknya).
Saya memandu melalui PWTC dan Pan-Pacific Hotel (tempat di mana arwah pernah diraikan sebagai pejuang kemerdekaan) dan terus ke Chow Kit road, Jalan TAR, Dataran Merdeka dan seterusnya saya terus memandu melalui Lebuhraya Sg Besi-Seremban. Seterusnya saya berhenti di sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan untuk makan dan minum.
Apa yang paling saya sukar lupakan ialah Arwah sering menyatakan bahawa Arwah sangat berpuas hati dengan 'tour' tersebut sepanjang masa saya memandu sehingga Arwah begitu bermurah hati membayar makan tengahari kami pada hari itu.
Sehingga hari ini, saya merasa amat puas apabila terkenang 'tour' kami itu. Saya cukup puas kerana dapat memberikan sesuatu kepada Arwah sepanjang hidupnya. Saya akui tidak mampu membalas jasa Arwah denga harta atau wang ringgit, tetapi saya cukup merasa puas kerana saya dapat memberikan masa yang sangat berharga kepada Arwah.
Selepas 'tour' itu, arwah juga menyatakan bahawa Arwah mahu saya membawanya bersiar2 di Kuala Lumpur dengan LRT pula pada masa lain. Agak sedih kerana saya tidak dapat menunaikan niat Arwah kerana sebelum sempat berbuat demikian, Arwah telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Semua itu adalah perhargaan kepada Arwah dan juga memori yang sukar saya lupakan. Semoga Allah memberi rahmat kepada Arwah. Aminn...

Ramadhan 1429

Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Sekiranya umur saya panjang sehingga Ramadhan ini dan seterusnya, saya pasti akan berasa amat bersyukur sekali. Kita sering merasakan Ramadhan adalah bulan yang penuh cabaran kerana tidak makan dan tidak minum disiang hari. Di samping itu, kita merasakan bulan itu penuh nikmat apabila terkenang masa berbuka puasa. Sungguh nikmat sekali ! Tetapi mungkin ramai yang lebih tahu bahawa Ramadhan itu penuh nikmatnya bukan hanya semasa berbuka sahaja, bahkan sepanjang masa selama sebulan.
Kalau kita tanya kepada para alim ulama dan mereka yang betul-betul tahu akan rahsia nikmat bulan Ramadhan ini, mereka tentu ingin memilih Ramadhan berlaku pada setiap bulan.
Oleh itu, sama-sama lah kita memikirkan perkara ini untuk terus memperbaiki iman kita dan menambah amalan ibadah kita terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Ucapan Selamat Menjalankan Ibadah Puasa kepada semua.

Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh

Hari ini adalah hari pengundian di Permatang Pauh. Mungkin ramai yang ambil tahu dan sebilangan dari kita tidak ambil tahu atau kebarangkalian ada yang tidak tahu menahu.

Bagi keluarga kita, mungkin pendedahan politik amat kurang sekali di mana kebanyakan kita di lahirkan di negeri yang kuat ideologi di sebelah pihak sahaja atau kemungkinan anggota keluarga kita terdahulu tidak pernah terlibat dalam politik.

Meskipun begitu, bak kata orang jauh perjalanan luas pandangan. Pengalaman duduk dirantauan dan menetap mencari rezeki di negeri orang banyak membuka mata saya. Secara total, sesungguhnya Allah SWT menentukan segalanya... tetapi bagi yang merancang ialah manusia yang lemah.

Politik adalah satu acara hidup manusia yang seharusnya kita ambil pusing kerana dalam kehidupan kita lah politik banyak menentukan perjalanan kehidupan manusia contohnya dari sudut pendidikan, ekonomi, pertanian dan banyak lagi. Kesemuanya bergantung kebanyakannya kepada dasar kerajaan. Kerajaan itu apa? Kerajaan dikendalikan oleh ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.

Untuk memilih cabang politik pula, terserahlah kepada kita untuk memilihnya berdasarkan akal fikiran dan ilmu yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Walaupun suatu pilihanraya kita anggap kecil, tetapi impaknya akan memberi kesan kepada kita dan yang paling penting untuk generasi kita yang akan datang. Sekian..


Tuesday, August 12, 2008

Happy 7th Birthday to Amir - 7 August 2008


Selamat Menyambut Hari Kelahiran yang Ke-7 kepada putera sulong saya, Nik Muhammad Amir.
Sejak berminggu kebelakangan ini, saya begitu sibuk di tapak projek sehingga tidak sempat nak menulis dalam ruangan ini. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah saya sempat jugak membelikan Amir sebuah kek yang kecil sekadar yang mampu untuk menceriakan Amir.
Di sini saya ini berkongsi sedikit pengalaman semasa hari kelahiran Amir 7 tahun yang lalu. Dalam keadaan agak kelam kabut sedikit semasa menerima cahayamata pertama, saya hampir lupa banyak perkara-perkara lain. Antaranya ialah saya telah ditahan oleh Polis semasa pemeriksaan Polis. Ketika itu baru lah saya teringat yang lesen memandu saya telah tamat. Pegawai Polis itu hanya sekadar memberi teguran kepada saya. Selepas itu saya terus membuat pembaharuan lesen memandu saya di Pejabat Pos terdekat.
Jadi, sehingga hari ini saya terus mengingati tarikh luput lesen memandu saya setiap kali pada hari ulangtahun kelahiran Amir.
Saya berdoa agar Amir akan menjadi anak yang soleh, cerdik dan menjadi hamba Allah yang sentiasa beriman kepada Allah SWT. Tidak lupa juga kepada anak-anak yang lain juga.
Sekian.

Wednesday, August 6, 2008

Selamat Pengantin Baru



Saya rasa masih belum terlambat bagi saya merekodkan ucapan ini dalam blog ini kepada adik ipar saya dan isteri yang telah selamat diijabkabulkan lebihkurang 2 bulan yang lalu.

Syed Hafizurahim @ AP yang kini bertugas sebagai Jurutera Petronas Carigali telahpun mengenali isteri beliau, Hasuzila yang kini bertugas sebagai Pendidik semasa mereka sama-sama belajar di sekolah menengah. Ikatan persahabatan mereka akhirnya telah membawa mereka ke jinjang pelamin.

Kami sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan mendoakan kebahagian mereka.

Syukur


Alhamdulillah.... Alhamdulillah... Alhamdulillah....

Mungkin ramai diantara kita telah banyak membaca Al-Quran, Hadith ataupun mendengar ceramah atau membaca kitab-kitab agama yang telah menerangkan akan perlunya kita bersyukur kepada segala apa yang dikurniakan kepada kita... Oleh itu, tidak perlu lah saya menyiarkan sebarang bentuk peringatan dan ilmu-ilmu yang kita telah pelajari atau ketahui.

Saya cuma mengambil ruang ini sekadar memberi sedikit peringatan akan perlunya kita bersyukur kepada Allah SWT. Allah SWT tidak pernah melupakan kita walaupun sesaat... setiap saat kita merasakan udaraNya, oksigenNya dan sebagainya. Bagaimana dengan kita? Cukupkah sekadar bersyukur lima kali sehari?

Maka dengan itu, eloklah kita kembali kepada amalan kita, pengajian kita, bacaan kita dsb. untuk mendapatkan huraian perkara-perkara sebegini.

Sekadar Renungan Kita semua. Wallahualam...

Sejarah Kehidupan


Saya sering berpendapat dengan ibu saya, bahawa adalah perlu bagi kita untuk mengingati peristiwa-peristiwa atau sejarah kehidupan keluarga pada masa yang lalu. Mungkin segelintir daripada kita tidak suka mengingati kesusahan dan pengalaman hidup keluarga sebelum ini.

Bagi saya, kisah-kisah keluarga pada masa lalu perlu disampaikan ke generasi yang akan datang untuk dijadikan tauladan kepada semua anak cucu kita nanti bagaimana sebuah keluarga bermula dan berkembang sepertimana pada hari ini.

Saya merasa begitu bertuah kerana berpeluang merasai kehidupan kanak-kanak di kampung di mana pada masa itu bidang pertanian terutamanya menoreh getah merupakan pekerjaan utama penduduk kampung. Saya berpeluang merasai bagaimana nilai 10 sen itu sama dengan nilai RM 1 pada hari ini, di mana dengan berbekalkan RM 1, kami mampu makan mee goreng dan minuman di kedai mamak pada ketika itu.

Sekiranya kisah-kisah seperti ini tidak diketahui oleh generasi kita yang akan datang, mereka tentu menganggap kehidupan hari ini adalah sama dengan kehidupan terdahulu. Adalah tidak dinafikan bahawa adakalanya kita merasa tersentuh dengan semua memori lama tetapi semua pengalaman itulah yang telah memotivasikan diri saya untuk terus menghabiskan pelajaran saya.

Kisah mandi parit, memancing ikan dan bermain di sekitar kampung sering menjadi memori yang kadangkala membuat saya tersenyum sendiri. Pengalaman seperti ini tidak dirasai oleh generasi terkini yang hanya memikirkan smart reader, taska, tadika dan tusyen mereka.

Saya sering menginginkan anak-anak saya merasa apa yang telah saya lalui..

Foto - Rumah Keluarga yang telah diubahsuai

Sekian, sekadar cetusan hati dari saya.

Tuesday, August 5, 2008

Tahniah untuk Mak Yah sekeluarga



Memperkenalkan...Mukhriz Mustaqeem Jr, putera ketiga kepada Mak Yah @ Norzilah Mohd Roslan dan Uncle JR.. born in Kuching, Sarawak on 4hb Jun 2008 (kalau tak silap). Tahniah kepada seluruh keluarga... termasuk Mahathir dan Marina..

Keluarga Roslan


Gambar ini diambil semasa Hari Perkahwinan ibu saudara saya, Emmy dan Shikeen di mana julung-julung kalinya kami berjaya bergambar secara beramai-ramai. Mak Yah sekeluarga tidak dapat bersama-sama kami pada hari tersebut kerana berada di Sarawak.
Walaupun Allahyarham Mohd Roslan tidak dapat bersama-sama kami pada hari tersebut, Nenek kami dapat menyempurnakan majlis tersebut dengan lancar dan sempurna dengan kerjasama kami semua. Semoga majlis tersebut diberkati Allah dan kehidupan pasangan pengantin dan kami semua mendapat kebahagiaan didunia dan akhirat.. Aminnn...

Pembuka Kata

Assalamualaikum... kepada semua ahli keluarga saya.. tidak kira sama ada dari generasi terdahulu ataupun generasi yang akan datang... Tidak kira sama ada secara keturunan ataupun melalui ikatan perkahwinan.

Saya adalah anak sulong kepada Hamdan bin Mohamed dan Noriah binti Mohd Roslan. Saya berkahwin dengan Syarifah Hamidah binti Syed Ibrahim, anak kepada Syed Ibrahim bin Syed Muhammad. Alhamdulillah setakat ini Allah telah mengurniakan kami anak seramai 3 orang cahaya mata iaitu Nik Muhammad Amir, Nik Nur Aina Zahirah dan Nik Muhammad Atif.

Dua generasi terdahulu saya dimulakan dengan Allahyarham Nenda saya sebelah bapa, Allahyarham Mohamed yang tidak pernah saya temui (beliau meninggal semasa ayah saya semasa kecil lagi) dan Allahyarhamah Tom binti Hj Arif. Pasangan ini hanya dikurniakan seorang anak iaitu ayah @ bak saya. Di sebelah keturunan ibu, ianya dimulakan dengan Allahyarham Mohd Roslan bin Hj Mahmud dan Mak Atuk saya, Jemah binti Yamin. Pasangan ini pula dikurniakan anak seramai 14 orang di mana ibu saya, Noriah sebagai puteri sulung dan diikuti oleh Jamilah, Hasnah, Norlida, Kintan, Nordin, Norfiza, Norzilah, Norizam, Noranika, Noridham, Yuhairil Anis, Emmy Izhar dan Shikeen.

Sebagai cucu pertama keluarga ini, saya sering mencita-citakan untuk memeriahkan dan merapatkan silaturahhim keluarga agar hubungan kekeluargaan yang sedia ada ini dapat diteruskan ke generasi yang akan datang. Walaubagaimanapun, atas alasan masa dan beberapa perkara lain yang tidak dapat dielakkan, cita-cita ini sukar direalisasi secara fizikal kecuali hanya pada hari-hari perayaan tertentu di mana kami semua dapat berkumpul.

Justeru itu, sebagai langkah awal, saya ingin mencuba untuk mengambil pendekatan dengan menggunakan teknologi terkini anugerah Allah iaitu secara internet untuk memaparkan kisah-kisah atau sejarah keluarga atau apa jua artikel melalui blog seperti mana yang saya telah nyatakan didalam laman FLIKR bergambar sebelum ini.

Inisiatif ini mungkin boleh dimanafaatkan oleh generasi akan datang untuk mengenali kita sebagai generasi terdahulu dengan adanya sesuatu rekod secara maya dan bukannya seperti kita sekarang ini yang hanya mengingati generasi terdahulu secara memori.

Saya sering berdoa agar generasi akan datang akan sentiasa mengenali kita dan tidak melupakan kita dalam doa mereka kelak sebagaimana kita tidak melupakan generasi terdahulu.

Akhirkata, saya akan membuat yang terbaik daripada saya mengikut kesempatan masa dan sesungguhnya yang baik itu datangya daripada Allah SWT. Wadah ini adalah untuk jangka panjang dan saya mengharapkan generasi seterusnya terutamanya dari anak-anak saya dapat meneruskan kesinambungan kekeluargaan ini pada masa yang akan datang... Aminnn...

Wassalam...