Wednesday, August 25, 2010

2010

Salam untuk aku sendiri & sesiapa yang membaca, bila dan dimana... sebenarnya aku menulis @ menaip sedikit sebanyak ni untuk tatapan aku sendiri pada masa akan datang dan juga anak cucu aku pada suatu hari nanti...... nak kutinggal harta, tiada harta, yang ada hanya la cerita-cerita, sedikit sebanyak mana tau boleh dijadikan teladan dan tauladan. Kalau nasib ku baik, boleh lah jadik role model... tapi siapa la aku ni... sebagai orang Islam, Rasulullah SAW adalah sebaik-baik role model. Hmm... berbalik tajuk asal... 2010...

Tahun baru datang lagi dan berbulan aku tak jengok blog suka-suka aku ni... It's been a while, nak kecek omputeh sket....... Mungkin banyak faktor yang menyebabkan aku terlepas pandang. Allahyarham Maktuk dan Piju meninggalkan kita pada awal tahun. World Cup 2010 sudah berlangsung. Perubahan dalam syarikat aku bekerja dan bermacam-macam lah. Pendek kata, selagi tak tutup mata, kerja.. kerja.. kerja...

Dulu-dulu, aku sering mengharap tahun baru membawa perubahan kepada kami semua. Lazimnya manusia, bagi yang susah mengharap senang, yang miskin mengharap kaya dan seumpamanya lah. Lama-kelamaan, baru ku sedar dan memang sepatutnya kusedar dulu lagi, semuanya itu ketentuan Ilahi tidak mengira tahun apa dan waktu. Pokoknya kita mesti tidak henti berusaha dan menjalankan kewajiban kita sebagai manusia di muka bumi ini. Bercakap soal perjuangan, hidup ini ibarat perjuangan. Perjuangan yang sedikit mesti sentiasa diteruskan. Soal kemenangan atau tidak itu adalah hak Allah. Dia yang kaya... Dia yang berkuasa. Aku siapa? Rasulullah SAW sendiri pun diuji dengan pelbagai rintangan dan dugaan dalam memperjuangkan Islam yang ada pada hari ni.

Akhir kata, 2010 sudah melepasi setengah jalan dan Alhamdulillah Ya Allah, aku diketemukan lagi dengan RamadanMu Ya Allah. Semoga aku dapat terus hidup bersyukur dengan segala yang Kau berikan kepada kami ini Ya Allah. Kecik atau Besar, aku redha Ya Allah......

Tuesday, December 15, 2009

Welcome to the World

Kami menutup tirai tahun ini dengan keahlian keluarga seramai 6 orang termasuk isteriku. Amir akan melangkah ke tahun 3 dan Aina ke tahun 1 dalam alam persekolahan mereka. Atif mengakhiri tahun ini dengan berpangkatkan 'abang' kepada puteriku yang ke-4, Alya.
Begitula kehendak Allah SWT di mana aku hanya mampu bersyukur, redha dan bersedia memikul tanggungjawab yang diberikan dan amanahNya.
Ibuku pernah berkata, 10 orang anak pada masa lalu sama dengan menjaga 3 orang anak pada masa ini. Aku kira banyak betul kata-katanya. Kanak-kanak kini mempunyai minda dan pemikiran yang 2 atau lebih kali ganda daripada kanak-kanak yang lahir di era sebelum 90-an. Secara analisisnya, aku tidak mempunyai asas sama sekali tetapi hanya berasaskan pengalaman sendiri.
Banyak faktor yang boleh dipertimbangkan, mungkin dari sudut makanan berzat, mungkin bimbingan ibu bapa yang lebih efisyen dan pelbagai lagi. Bagiku, walau seberzat mana makanan atau semahal mana bimbingan yang kita berikan, doa kepada mereka adalah amat penting. Begitu juga bimbingan keimanan mereka dan jangan sekali pun kita putuskan keimanan mereka dan sentiasa ingatlah (termasuk diri saya sendiri), akan amanah yang telah diberikan kepada kita.
Semoga kita dapat mengimbangi keadaan ini dengan perkembangan 'the new world' seperti AF, PS2, WIFI dsb yang sangat mencabar.
Kepada anak-anakku, welcome to the world! Kejarlah Akhirat, dan Dunia pasti akan mengejar kita.

2009 / Maal Hijrah

Cepat sungguh masa berlalu. Semalam adalah perkara yang 'paling jauh' dengan kita. Walaubagaimanapun, hidup mesti diteruskan dengan penuh 'kesyukuran' kepada Allah SWT.
Mengimbas kembali 2009, aku pun hampir lupa peristiwa-peristiwa penting. Yang tidak akan aku lupakan ialah kedatangan puteriku iaitu zuriat amanah Allah yang ke-4 yang dikurniakan kepada kami sekeluarga.
Tiada azam pada tahun lalu dan tiada azam untuk tahun yang mendatang. Kita berazam dan berjanji setiap hari di hadapan Allah SWT untuk beribadat, hidup dan mati kerana Allah SWT. Aku rasa azam setiap hari itu adalah amat penting dan lebih dari mencukupi untuk kita imbas kembali setiap 5 kali dalam sehari.
Adakah kita dikalangan orang-orang yang telah menunaikan azam kita itu? Adakah kita dikalangan orang-orang mukminin atau kita hanya sebagai manusia yang hanya menggunakan nama Islam?
Walaupun begitu, tidak ada salahnya kita berazam untuk untuk terus memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa apatah lagi tahun baru Islam juga bakal tiba tidak lama lagi... Maal Hijrah 1431.
Persoalan untuk difikir, adakah kita sentiasa menghitung 'berapa lama kita akan hidup' atau 'berapa lama lagi kita akan mati'. Wassalam


Thursday, July 30, 2009

2009

Salam.. Ini lah tulisan pertama aku dalam blog ini untuk tahun ini. 'Mood' untuk menulis agak 'kureng' untuk tahun ini gamaknya. Jadi, untuk ringkasan aku menulis dipertengahan tahun yang akan menceritakan kisah yang berlalu dan perancangan seterusnya sehingga ke akhir tahun. Secara ringkasannya beberapa perkara telah berlaku pada tahun ini:

1. Mak Atuk dimasukkan hospital kerana penyakit paru-paru berair. Alhamdulillah beliau telah selamat balik ke kampung setelah menjalani pembedahan dan beberapa pemeriksaan susulan. Yang terakhir beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, JB untuk rawatan jangkitan kuman dilimpa dan kencing manis. Semoga Mak Atuk sentiasa sihat dan dapat beristirihat di kampung dengan baik.

2. Mak Emmy telah kehilangan putera sulungnya yang berumur kira-kira seminggu disebabkan oleh jangkitan kuman (kemungkinan besar). Apa yang yang penting, semua ini adalah ketentuan Allah SWT yang hanya meminjamkannya kepada kita untuk seketika. Semoga keluarga Mak Emmy dan 'Along' tabah menghadapi ujian dari Allah SWT.

3. Aku sedang menunggu kelahiran cahaya mata yang keempat tidak lama lagi. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar. InsyaAllah.

4. Bekas Ayah tiriku, Maarof telah mengalami kemalangan jalanraya di Pahang semasa mengendalikan sebuah treler yang sedang dalam perjalanan. Alhamdulillah beliau telah terselamat dalam kemalangan tersebut dan sedang menjalani proses pemulihan fizikal sepenuhnya.

5. Bapa Saudara isteriku, Syed Ismail telah dimasukkan hospital kerana hampir mengalami kanser dibahagian peha dan telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Putrajaya. Ketika ini beliau juga sedang menjalani rawatan susulan

6. Mak dan Adikku, Ana telah sempat menziarahi Mak Yah sekeluarga yang berada di Kuching baru-baru ini. Kadang2 bagus jugak ada Air-Asia ni cuma kerajaan bila lah nak turunkan kadar tol. Baru lah talian silaturrahim berjalan lebih lancar.

7. Yang terbaru, malam tadi adik iparku, Syed Hadee telah mengalami kemalangan jalanraya dan telah dimasukkan keICU PPU. Beliau dibenarkan pulang kerumah dan sedang menjalani ujian susulan.

8. Kepada yang telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya, aku akan sentiasa mendoakan mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Oleh kerana aku jarang-jarang pulang ke-kampung pada tahun ini, banyak perkara yang aku tidak begitu peka melainkan aku diberitahu.

Banyak perkara yang berlaku secara peribadi yang sukar untuk dituliskan disini. Yang penting, semua itu hanyalah ujian Allah SWT dan kita hendaklah pasrah denga semua itu.

Untuk perancangan seterusnya, tiada perancangan terperinci untuk tahun ini selain dari bakal menghadapi hari-hari yang agak sibuk.... kelahiran cahaya mataku, bulan Ramadhan, Hari Raya dan kehidupan seharian yang sibuk sepertimana hari-hari yang sebelumnya.

Yang paling penting, kehidupan ini adalah sementara dan menjadi pentas ujian Allah SWT kepada hambaNya. Yang kaya akan diuji dengan kekayaan, yang miskin diuji dengan kemiskinan dan begitulah seumpamanya.

Sekian, semoga Allah SWT sentiasa menrahmati kita. Wallahualam.



Monday, October 20, 2008

Selamat Menyambut Eidul Fitri 1429


Selamat Hari Raya... Balik Kampung... Syawal telah lebih dari separuh jalan.. sekarang kebanyakan orang terutama di bandar masih lagi meriah menyambut Hari Raya pada setiap hujung minggu dengan rumah terbuka, jamuan hari raya dan pelbagai lagi.
Bagi saya, Hari Raya kali amat berbeza sedikit. Kesempatan berhariraya dengan ayah @ Bak cukup bererti kepada saya apabila telah lebih dari 3 tahun saya tidak berjumpa beliau (atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan). Tapi hakikatnya, selama mana kita tidak berjumpa ayah dan ibu kita, kasih sayang mereka tetap sama, sama seperti hari kita dilahirkan, malah lebih kuat lagi dengan adanya penyambung keturunan mereka iaitu anak-anak kita.
Besar kemungkinan, Hari itu menjadi titik tolak saya untuk lebih akrab dan berhubung dengan ayah berbanding masa-masa yang lalu.. itu lah harapan Syawal saya kali ini.. semoga Allah sentiasa memberkati hubungan kami semua.. Aminnn...


Thursday, September 25, 2008

Ramadan semakin ke penghujung

Hari ini adalah hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan. Secara zahirnya kita seakan bergembira kerana tidak lama lagi kita sudah tidak perlu berpuasa tambahan pula menyambut Hari Raya yang penuh dengan kemeriahan, pakaian baru dan juga makanan yang begitu banyak.
Sesetengah hamba Allah pula berkeadaan sebaliknya. Ramadan ini terlalu istimewa. Walaubagaimanpun terpulang lah kepada tahap keimanan diri kita untuk merasai yang mana satu. Secara umumnya, bulan Ramadan ini banyak beza dengan dengan bulan-bulan lain contohnya seperti Solat Sunat Tarawikh yang tidak terdapat dalam mana-mana bulan. Bagi kebanyakan kita, bazar Ramadan, jualan murah, dsb hanya lebih meriah semasa bulan Ramadan ini.
Oleh itu, terpulang lah ke atas diri ini untuk mencari cara terbaik untuk menghayati hari-hari terakhir Ramadan ini dan seterusnya menyambut Hari Kemenangan pada pagi Aidilfitri nanti.. Wassalam..

Thursday, September 11, 2008

Al-Fatihah

Ramadhan kali ini banyak menyentuh hati kita terutamanya ibu saya yang kehilangan ibu saudara, bapa saudara dan sahabatnya walaupun kita baru menyambut Ramadhan selama 10 hari.
Arwah Atuk Ngah @ Sarah telah kembali ke Rahmatullah pada 1 Ramadhan. Ibu saya kemudiannya dikejutkan dengan pemergian Allahyarhamah Jamaliah, kawan baik kepada ibu saya yang telah mengalami kemalangan jalanraya pada 6 Ramadhan. Saya dikejutkan lagi dengan apabila menerima sms dari ibu saya mengatakan bapa saudaranya pula, yang saya biasa panggil Atuk Itam @ Him telah meninggalkan kita pada 10 Ramadhan @ semalam. Allahyarham mengidap penyakit 'semput' sebelum itu.
Semua ini mengingatkan kita bahawa kematian adalah perkara paling hampir dengan kita. Semoga kita sama-sama mendoakan yang terbaik untuk Allahyarham dan Allahyarhamah serta salam takziah untuk seluruh keluarga mereka.
Al-Fatihah..

Thursday, August 28, 2008

Sehari bersama Atuk Abah

Cerita ini hanya sekadar ingatan saya kepada Arwah Atuk Abah yang telah pergi meninggalkan kita beberapa tahun lalu. Hari itu merupakan antara hari-hari dalam kehidupan yang paling saya bangga dan tidak lupa. Buat pertama kali saya berjaya 'entertain' Atuk Abah pada hari itu.
Semasa Atuk Abah dan Mak Atuk berkunjung ke rumah Mak Yah di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, Arwah meminta saya untuk membawanya bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur. Saya sanggup mengambil 'emergency leave' demi untuk Arwah.
Bermula pada pukul 10 pagi, saya membawa Arwah menaiki kereta saya ditemani juga oleh Mak Atuk dan anak sulong saya, Amir menyusur jalan MRR2 terus ke Batu Caves dan kemudiannya ke pusat ibu kota. Arwah tidak putus-putus melihat kiri dan kanan sambil memberi komen kepada segala yang dilihatnya. Mak Atuk pula sering tertidur semasa 'trip' kami itu (keletihan agaknya).
Saya memandu melalui PWTC dan Pan-Pacific Hotel (tempat di mana arwah pernah diraikan sebagai pejuang kemerdekaan) dan terus ke Chow Kit road, Jalan TAR, Dataran Merdeka dan seterusnya saya terus memandu melalui Lebuhraya Sg Besi-Seremban. Seterusnya saya berhenti di sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan untuk makan dan minum.
Apa yang paling saya sukar lupakan ialah Arwah sering menyatakan bahawa Arwah sangat berpuas hati dengan 'tour' tersebut sepanjang masa saya memandu sehingga Arwah begitu bermurah hati membayar makan tengahari kami pada hari itu.
Sehingga hari ini, saya merasa amat puas apabila terkenang 'tour' kami itu. Saya cukup puas kerana dapat memberikan sesuatu kepada Arwah sepanjang hidupnya. Saya akui tidak mampu membalas jasa Arwah denga harta atau wang ringgit, tetapi saya cukup merasa puas kerana saya dapat memberikan masa yang sangat berharga kepada Arwah.
Selepas 'tour' itu, arwah juga menyatakan bahawa Arwah mahu saya membawanya bersiar2 di Kuala Lumpur dengan LRT pula pada masa lain. Agak sedih kerana saya tidak dapat menunaikan niat Arwah kerana sebelum sempat berbuat demikian, Arwah telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Semua itu adalah perhargaan kepada Arwah dan juga memori yang sukar saya lupakan. Semoga Allah memberi rahmat kepada Arwah. Aminn...

Ramadhan 1429

Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Sekiranya umur saya panjang sehingga Ramadhan ini dan seterusnya, saya pasti akan berasa amat bersyukur sekali. Kita sering merasakan Ramadhan adalah bulan yang penuh cabaran kerana tidak makan dan tidak minum disiang hari. Di samping itu, kita merasakan bulan itu penuh nikmat apabila terkenang masa berbuka puasa. Sungguh nikmat sekali ! Tetapi mungkin ramai yang lebih tahu bahawa Ramadhan itu penuh nikmatnya bukan hanya semasa berbuka sahaja, bahkan sepanjang masa selama sebulan.
Kalau kita tanya kepada para alim ulama dan mereka yang betul-betul tahu akan rahsia nikmat bulan Ramadhan ini, mereka tentu ingin memilih Ramadhan berlaku pada setiap bulan.
Oleh itu, sama-sama lah kita memikirkan perkara ini untuk terus memperbaiki iman kita dan menambah amalan ibadah kita terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Ucapan Selamat Menjalankan Ibadah Puasa kepada semua.

Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh

Hari ini adalah hari pengundian di Permatang Pauh. Mungkin ramai yang ambil tahu dan sebilangan dari kita tidak ambil tahu atau kebarangkalian ada yang tidak tahu menahu.

Bagi keluarga kita, mungkin pendedahan politik amat kurang sekali di mana kebanyakan kita di lahirkan di negeri yang kuat ideologi di sebelah pihak sahaja atau kemungkinan anggota keluarga kita terdahulu tidak pernah terlibat dalam politik.

Meskipun begitu, bak kata orang jauh perjalanan luas pandangan. Pengalaman duduk dirantauan dan menetap mencari rezeki di negeri orang banyak membuka mata saya. Secara total, sesungguhnya Allah SWT menentukan segalanya... tetapi bagi yang merancang ialah manusia yang lemah.

Politik adalah satu acara hidup manusia yang seharusnya kita ambil pusing kerana dalam kehidupan kita lah politik banyak menentukan perjalanan kehidupan manusia contohnya dari sudut pendidikan, ekonomi, pertanian dan banyak lagi. Kesemuanya bergantung kebanyakannya kepada dasar kerajaan. Kerajaan itu apa? Kerajaan dikendalikan oleh ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.

Untuk memilih cabang politik pula, terserahlah kepada kita untuk memilihnya berdasarkan akal fikiran dan ilmu yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Walaupun suatu pilihanraya kita anggap kecil, tetapi impaknya akan memberi kesan kepada kita dan yang paling penting untuk generasi kita yang akan datang. Sekian..